Ahlu Sunnah Wal Jamaah



Suatu hari Imam Abu Hassan Al Asy'ari bertanya kepada gurunya Al Jabaie seorang ulama' mu'tazilah dalam pengajiannya; "Apa pendapat kamu kepada tiga orang saudara iaitu seorang mati ketika tua dan taat kepada Allah, seorang lagi juga tua tetapi banyak melakukan maksiat kepada Allah dan yang ketiga masih kanak-kanak?" Berkata Al Jabaie; "Yang pertama akan diberikan pahala dengan ganjaran syurga, sementara yang kedua akan diazab dengan api neraka manakala yang ketiga tidak akan diberikan pahala ataupun disiksa".

Maka berkata Abu Hasan Al Asy'ari kepada gurunya; "Sekiranya si mati yang ketiga bertanya: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan kenapa tidak biarkan aku hidup nescaya aku akan mentaatiMu dan sudah pasti Engkau akan masukkan aku ke dalam syurga?" Apa Tuhan akan jawab?" Berkata Al Jabaie; "Tuhan akan jawab: "Sesungguhnya Aku mengetahui sekiranya kamu dibiarkan hidup sehingga tua, kamu akan melakukan maksiat kepadaKu dan sudah pasti Aku akan masukkan kamu ke dalam neraka. Maka perkara yang lebih baik bagi kamu ialah mati ketika masih kanak-kanak".

Berkata Imam Al Asy'ari lagi; "Sekiranya si mati kedua bertanya kepada Tuhan: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau tidak matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan sudah pasti Engkau tidak akan masukkan aku ke dalam neraka?" Apa Tuhan akan jawab?" Terus tercengang Al Jabaie dengan persoalan tersebut.

Imam Abu Hasan Al Asy'ari terus meninggalkan mazhab mu'tazilah tersebut dan beliau serta pengikutnya banyak menghabiskan waktu untuk berhujah dengan pendapat mu'tazilah dalam membenarkan apa yang terdapat dalam As Sunnah dan dikekal dan disempurnakan usaha tersebut oleh Al Jamaah(sekumpulan manusia). Oleh sebab itu golongan ini dinamakan sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah.


Baca Lagi...

Maahad Az Zein, Bogor








Gambar-gambar yang sempat dirakam ketika ziarah saya, Ustaz Aidil dan Haji Kamal ke Maahad Az Zein, Bogor , pondok milik Syeikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makky pada bulan Februari yang lepas..

Gambar pada waktu malam yang bawah sekali adalah rumah Syeikh Nuruddin dari sisi bawah bukit..

Lagi dua gambar sebelumnya ialah rumah tetamu, tempat kami menumpang bermalam..cantik tempatnya..design seperti chalet tepi pantai..depan tu kolam ikan..tapi saya tak pasti ikan apa dalam tu..tak sempat nak menimba..setiap hari memang keluar jalan je..


Baca Lagi...

ETIKA DAN AKHLAK PENGGUNA



Sebahagian besar pakar-pakar ekonomi begitu mengambil berat mengenai pengeluaran sesuatu barang. Oleh sebab itu, mereka menghabiskan segala tenaga dan fikiran mereka untuk menambah pengeluaran dan memperelokkannya sama ada dari segi bilangan mahupun jenisnya.
Islam telah meletakkan satu garis panduan kepada para pelabur dengan satu manhaj yang sederhana. Mengikut Islam, pelaburan yang terbaik ialah dengan menambahkan pengeluaran sesuatu barang serta membimbing para pengguna dengan mengeluarkan barang-barang yang dihalalkan oleh Islam.

BERBELANJA KE ARAH KEBAIKAN DAN MEMERANGI SIFAT KEDEKUT

Bersederhana Dalam Berbelanja

Mengeluarkan barang-barang yang baik adalah dituntut, memiliki harta adalah disyariatkan dalam Islam, tetapi memiliki harta semata-mata bukan matlamat sebenar, bahkan ianya hanyalah jalan untuk menikmati rezeki yang Allah telah kurniakan kepada hambaNya dan jalan untuk berbakti demi kemaslahatan masyarakat.
Manakala orang kaya yang memiliki harta yang banyak hanya bertujuan mengumpulkannya semata-mata tanpa menikmatinya bersama ahli keluarganya dan tidak membantu masyarakat merupakan orang yang telah menyeleweng daripada hidayah Allah dan sunnah orang beriman.

Wajib Berbelanja

Arahan supaya berbelanja datang selepas arahan beriman kepada Allah dan RasulNya. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa arahan ini adalah suatu kewajipan , bukan semata-mata perkara sunat ataupun petunjuk daripada Allah. Banyak di dalam Al Quran disertakan perkataan iman dengan perkataan berbelanja. Diantaranya firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 3.

3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.

Firman Allah lagi dalam surah Al Anfal ayat 2-4

2. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
3. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan Yang mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka.
4. Merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka akan mendapat pangkat-pangkat Yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia Yang mulia (di Syurga).

Ahli tafsir telah berbeza pendapat dalam menentukan maksud infaq. Adakah ianya zakat wajib? Sedekah sunat? Ataupun nafkah kepada ahli keluarga?

Mengikut pendapat yang paling tepat ialah lafaz infaq adalah lafaz umum termasuk di dalamnya wajib, sunat, kepada diri sendiri, keluarga ataupun masyarakat. Infaq bermaksud berbelanja.

Berbelanja Yang Dituntut

Terdapat dua keadaan berbelanja yang dituntut oleh syara’

1. Berbelanja di Jalan Allah

Gesaan berbelanja di jalan Allah banyak disebut di dalam Al Quran di antaranya ayat 261 Surah Al Baqarah.

261. Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

Gesaan berbelanja dalan hadis sepertimana hadis yang diceritakan oleh Saidina Umar r.a berkata: Rasulullah telah menyuruh kami supaya bersedekah. Maka akupun membawa harta aku untuk bersedekah. Maka aku berkata: Hari ini aku telah mendahului Saidina Abu bakar r.a dengan membawa separuh daripada hartaku. Maka berkata Rasulullah: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?”. Aku menjawab: Sebanyak harta ini. Kemudian datang Saidina Abu Bakar dengan membawa semua hartanya. Berkata Rasulullah kepadanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?”. Jawab Abu Bakar: Aku hanya tinggalkan kepada mereka Allah dan RasulNya! Aku berkata: Aku tidak akan mampu mendahului kamu selama-lamanya. Hadis sahih mengikut syarat Imam Muslim riwayat Al Hakim.

2. Berbelanja untuk diri sendiri dan ahli keluarga.

Allah berfrman dalam Surah Al A’raf ayat 31 dan 32.

31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.
32. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.

Ayat di atas secara jelas menunjukkan perintah yang membawa kepada wajib menikmati perkara-perkara kebaikan sama ada dari segi makanan, minuman ataupun perhiasan menurut pendapat sebahagian ulama’.

Imam Al Syatibi ada menyebut satu kaedah berkenaan ayat perintah seperti di atas dalam kitab Al Muwafaqat “ Sesungguhnya ia membawa maksud harus pada satu juzuk (harus makan pada pada bila-bila masa tanpa ditentukan masanya) tetapi dituntut pada alkulli ( wajib makan secara umum untuk mengelakkan mudarat akibat tidak makan) sama ada menjadi sunat atau wajib”.

Tidak mengapa bagi seseorang muslim berpakaian kemas dan rapi bahkan sukakan kepada kecantikan dalam semua keadaan.

Satu hadis Nabi riwayat Imam Muslim daripada Ibnu Mas’ud daripada Rasulullah berkata: “ Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada pada hatinya sebesar zarah daripada sifat takabur ”. Maka berkata seorang lelaki: Bagaimana jika seorang lelaki suka berpakaian cantik dan elok? Jawab Rasulullah: “ Sesungguhnya Allah itu cantik dan elok serta sukakan kepada kecantikan. Takabur itu ialah mengingkari kebenaran dan menghina manusia lain”.

Tidak dinafikan sifat kedekut kepada diri sendiri dan keluarga termasuk dalam perbuatan yang dicela. Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, hendaklah dia menggunakan nikmat tersebut sebaiknya dan menzahirkan nikmat tersebut. Inilah perbuatan yang disukai oleh Allah dan bukan sebaliknya.

Islam menjadikan perbelanjaan kepada ahli keluarga sebagai permulaan kepada pemberian berbelanja kepada kepada fakir miskin dan berbelanja di jalan Allah. Antara perbelanjaan yang disyariatkan kepada keluarga ialah membina rumah atau tempat tinggal yang selesa dan luas kerana beberapa faktor. Di antaranya ialah:
1. Untuk membezakan bilik bagi anak lelaki dan anak perempuan apabila mereka telah baligh.
2. Untuk para tetamu yang hadir ke rumah untuk bermalam.


MEMERANGI PEMBAZIRAN DAN SIKAP BERMEWAH-MEWAH

Sebagaimana seorang muslim tidak boleh untuk mendapatkan harta daripada sumber yang haram, mereka juga tidak boleh membelanjakannya kepada perkara-perkara haram, bahkan mereka juga tidak boleh untuk membazir walaupun pada perkara-perkara halal dengan menghabiskan harta ke sana ke mari tanpa had dan tujuan.
Islam mengharuskan kepada umatnya untuk menikmati perkara-perkara yang baik dalam kehidupan dunia, bertentangan dengan rahib-rahib Kristian, golongan sufi Hindu dan seumpamanya yang jumud dalam kehidupan. Akan tetapi, keharusan ini tidak boleh melampaui batas yang membawa kepada pembaziran dan sikap bermewah-mewah.

Pedoman Yang Menarik

Pengajaran daripada hadis riwayat Imam Muslim berkenaan arahan Nabi supaya menghabiskan makanan yang dimakan dengan sabda Nabi “ Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada makanan mana yang ada barakah” ialah supaya tidak berbaki sedikitpun makanan dalam bekas kerana pada masa yang sama berapa ramai manusia yang kelaparan dan kebuluran di luar sana walaupun lebih sedikit daripada makanan yang ditinggalkan.

Menjauhkan Diri Daripada Berhutang

Seorang muslim mestilah mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan supaya tidak tercebak dalam hutang.
“ Diampunkan kepada syahid semua dosanya melainkan hutangnya”. Hadis sahih riwayat Imam Muslim.
Hadis di atas menunjukkan bahaya hutang kepada manusia walaupun setelah mati syahidpun tidak mampu menghapuskan beban hutang sedangkan mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat islam.

Menjaga Aset Kekal

Aset kekal merupakan harta yang cukup bernilai bagi seseorang muslim. Islam menggesa supaya aset seperti rumah, bangunan, ladang tanaman ataupun ternakan tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan Islam menggalakkan kepada seseorang muslim mengusahakannya sebagai salah satu sumber rezeki yang baik dan halal. Aset seperti ini tidak harus dijual hanya semata-mata untuk mendapatkan wang.

Merosak dan Menghilangkan Harta Serta Cuai Adalah Pembaziran

Di antara pembaziran yang dilarang oleh Islam ialah sengaja merosakkan harta benda dan menghilangkannya serta cuai menjaga harta tersebut sehingga menyebabkan harta tersebut rosak dan musnah.

Matlamat Islam Memberikan Garis Panduan

1. Pendidikan Akhlak
Bukan akhlak seorang mukmin bermewah-mewah dalam kehidupan seperti golongan kafir yang memakan apa sahaja seperti binatang. Mukmin yang sejati ialah mereka yang menikmati kelazatan hidup di dunia tetapi dengan mendirikan tembok pemisah di antaranya dengan perkara-perkara haram.

2. Pendidikan Kemasyarakatan
Sekiranya terdapat golongan yang bermewah-mewah dan membazir di merata-rata tempat, maka akan timbul perasaan dengki dan hasad daripada golongan miskin yang akhirnya akan membawa kepada berlakunya kes-kes kecurian dan rompakan.

3. Pendidikan Kesihatan dan Jasmani
Pembaziran dalam makanan akan membawa kepada penyakit tidak dapat mencernakan makanan, gemuk dan penyakit-penyakit perut dan sistem penghadaman sedangkan Islam suka kepada mukmin yang kuat yang Allah lebih sukai daripada mukmin yang lemah. Kekuatan yang dimaksudkan termasuk kekuatan jasmani dan sihat daripada sebarang penyakit.

Pengguna yang terbaik sentiasa menilai sesuatu tindakan dengan neraca iman dan taqwa kerana apa sahaja yang dilakukannya semuanya akan kembali kepada matlamat yang satu iaitu untuk mendapatkan redha Allah S.W.T.



Kertas kerja ini adalah ringkasan daripada buku “ Peranan Etika dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam” karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi dan dibentangkan dalam Madrasah Wasatiyyah pada 14 Rabi’ul Akhir 1430H/ 10 April 2009M.

Abdul Hadi bin Awang,
10.31 pagi,
Jumaat, 14 Rabi’ul Akhir 1430H
Hayyu ‘Asyir, Kaherah.


Baca Lagi...

Bermula Alkisah..


" nta nanti kalau dah sampai sana, buatla catatan peribadi. buat memoir sepanjang pengembaraan di tempat orang. jadi macam Dr H.M Tuah sampai boleh buka syarikat dengan jualan buku memoirnya saja".kata seorang sahabat saya sebelum saya bertolak untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir hujung tahun 2004. Saya hanya mampu tersenyum dengan cadangan tersebut.

Ya la, mana boleh nak samakan saya dengan Dr H.M Tuah yang memang terkenal dengan siri-siri ceramah motivasinya di sana sini. Pandai pulak menulis. Saya ni nak menulis diari pun tak sanggup, apatah lagi nak menulis memoir untuk tatapan orang ramai..tapi rupa-rupanya cadangan 5 tahun lepas menjadi satu kenyataan pada hari ini. Dengan adanya perantaraan blog ini, mungkin juga antara penyebab saya tiba-tiba berminat untuk menulis.

Tapi tujuan saya menulis di sini bukanlah untuk membongkar kisah-kisah peribadi saya untuk bacaan umum, bukan juga untuk memberikan fatwa-fatwa terhadap permasalahan umat, saya bukan orang yang selayaknya buat macam tu, tapi tidak lebih hanya sebagai pendorong kepada saya belajar menulis sedikit demi sedikit. Sepertimana ungkapan Saifulislam.com "
Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU". Mungkin suatu hari nanti saya mampu menjadikan medium penulisan ini sebagai salah satu medan dakwah yang berkesan. Sapa tahu...


Baca Lagi...

Majlis Bersama Dr Yusuf Al Qaradhawi

Alhamdulillah..kerana telah diberi kesempatan oleh Allah untuk saya dan sahabat-sahabat hadir bersama dalam satu majlis bersama Fadhilatul Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi anjuran Ettihad Ulama'. Majlis yang bermula pada pukul 5 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam cukup banyak memberi input yang amat berharga kepada penuntut-penuntut ilmu baik bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam ilmu mahupun bagi mereka yang telah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang ini..

Hadirin yang hadir daripada kalangan doktor-doktor Al Azhar dan pelajar-pelajarnya cukup untuk menggambarkan kehebatan majlis-majlis sebegini.

Tajuk yang disampaikan ialah tentang "Ciri-ciri Fatwa Yang Pelik".(fatwa yang tersasar daripada fatwa yang sebenar) Antara ciri-ciri tersebut ialah:

1. Fatwa yang dikeluarkan oleh orang yang bukan ahlinya.
2. Fatwa yang dikeluarkan bukan pada tempatnya.

3. Fatwa yang bertentangan dengan nas Al Quran.

4. Fatwa yang bertentangan dengan Hadis.

5. Fatwa yang bertentangan dengan Ijma' yang diyakini.

6. Fatwa yang bertenta
ngan dengan Qias yang sahih.
7. Menggambarkan suasana dan keadaan yang tidak tepat dengan hakikat sebenar sesuatu keadaan.
8. Beristidlal tanpa dalil.
9. Tidak meraikan suasana tempat, zaman dan 'uruf.


Fadhilatul Syeikh juga berpesan supaya banyak membaca, mengulangkaji, mengkaji dan berbincang sesuatu masalah supaya lahir nanti seorang ulama' yang benar-benar diyakini keilmuannya dalam mengeluarkan fatwa.

Majlis-majlis sebegini wajar dan sepatutnya kita ikuti sementara masih muda dan berada di bumi Mesir yang penuh dengan para ulama' dan auliya'.


Baca Lagi...

Majlis Bersama Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh

Alhamdulillah akhirnya pengajian hadis menggunakan kitab Riadussolihin dan feqah mazhab Imam Syafie berpandukan kitab Fathul Qarib syarah kepada Matan Abi Shuja' bersama Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh, murid kanan Syeikh Yasin Al Fadani, Musnid Dunia di Mekah dapat berlangsung dengan baik. Walaupun pada sebelumnya terdapat beberapa masalah yang akhirnya dapat diselesaikan dengan baik. Melihatkan kebanjiran penuntut-penuntut ilmu yang dahagakan ilmu pada pengajian semalam, menunjukkan betapa jika sesuatu perkara kebaikan dianjurkan, pasti akan dinilai dengan kebaikan oleh mereka yang hendakkan kebaikan.

Antara pesanan Syeikh ialah apabila tamat pengajian kitab ini penuntut-penuntut ilmu yang pulang ke Malaysia diharap supaya dapat mendirikan Majlis Riadussolihin dengan mengajarkan dua kitab yang besar faedahnya ini kepada masyarakat.

Sama-sama kita berdoa supaya majlis ini dapat berjalan dengan lancar dan mampu memberi faedah yang banyak kepada penuntut-penuntut ilmu di sini..


Baca Lagi...

muqaddimah

muqaddimah sebagai blogger..


Baca Lagi...