Ahlu Sunnah Wal Jamaah



Suatu hari Imam Abu Hassan Al Asy'ari bertanya kepada gurunya Al Jabaie seorang ulama' mu'tazilah dalam pengajiannya; "Apa pendapat kamu kepada tiga orang saudara iaitu seorang mati ketika tua dan taat kepada Allah, seorang lagi juga tua tetapi banyak melakukan maksiat kepada Allah dan yang ketiga masih kanak-kanak?" Berkata Al Jabaie; "Yang pertama akan diberikan pahala dengan ganjaran syurga, sementara yang kedua akan diazab dengan api neraka manakala yang ketiga tidak akan diberikan pahala ataupun disiksa".

Maka berkata Abu Hasan Al Asy'ari kepada gurunya; "Sekiranya si mati yang ketiga bertanya: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan kenapa tidak biarkan aku hidup nescaya aku akan mentaatiMu dan sudah pasti Engkau akan masukkan aku ke dalam syurga?" Apa Tuhan akan jawab?" Berkata Al Jabaie; "Tuhan akan jawab: "Sesungguhnya Aku mengetahui sekiranya kamu dibiarkan hidup sehingga tua, kamu akan melakukan maksiat kepadaKu dan sudah pasti Aku akan masukkan kamu ke dalam neraka. Maka perkara yang lebih baik bagi kamu ialah mati ketika masih kanak-kanak".

Berkata Imam Al Asy'ari lagi; "Sekiranya si mati kedua bertanya kepada Tuhan: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau tidak matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan sudah pasti Engkau tidak akan masukkan aku ke dalam neraka?" Apa Tuhan akan jawab?" Terus tercengang Al Jabaie dengan persoalan tersebut.

Imam Abu Hasan Al Asy'ari terus meninggalkan mazhab mu'tazilah tersebut dan beliau serta pengikutnya banyak menghabiskan waktu untuk berhujah dengan pendapat mu'tazilah dalam membenarkan apa yang terdapat dalam As Sunnah dan dikekal dan disempurnakan usaha tersebut oleh Al Jamaah(sekumpulan manusia). Oleh sebab itu golongan ini dinamakan sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

1 ulasan:

Collection said...

Ahlu as-Sunah wal Jama'ah is a best islam Hadith Sahih en français

August 17, 2017 at 8:10 PM  

Post a Comment