PENJAGAAN ALAM SEKITAR DALAM PERSPEKTIF ISLAM



Oleh: Al Imam Yusuf Al Qaradhawi

PENDAHULUAN

Apa erti alam sekitar?

Alam sekitar ialah meliputi keseluruhan kawasan yang didiami oleh manusia.

Alam sekitar terbahagi kepada dua:

1. Kaku ( ciptaan Allah semulajadi ) seperti daratan, bintang dan langit. Dua ciri utama alam kaku ialah:

- Berfungsi untuk kegunaan dan memenuhi kehendak manusia. Contohnya Allah menjadikan tanah yang sesuai untuk tanaman. Sekiranya Allah menjadikan semua tanah gurun atau pasir ataupun semua emas, sudah pasti manusia tidak boleh bercucuk tanam dengannya.

- Semua alam sekitar ini saling lengkap melengkapi mengikut ketentuan Allah seperti matahari member cahaya dan kepanasannya yang sesuai kepada manusia sepertimana air mengalir memberi sumber kehidupan kepada manusia.

2. Hidup (buatan manusia) seperti lubang yang digali sebagai sungai, pokok-pokok yang ditanam, bangunan-bangunan yang dibina dan sebangainya. Manusia, haiwan dan pokok termasuk juga dalam alam sekitar yang hidup.

PENYELESAIAN ISLAM TERHADAP ALAM SEKITAR

  1. Penghijauan dan tanaman. Faedah dua cara ini ialah:

- Manfaat. Melalui tanaman, hasilnya sudah pasti dapat dinikmati dan dirasai.

- Cantik. Tanaman yang menghijau, menjadikan sesuatu kawasan nampak cantik dan indah.

  1. Memakmurkan dunia dengan menghidupkan tanah yang terbiar dengan tanaman dan menjaga sumber alam.
  2. Kebersihan dan pembersihan. Islam memandang tinggi kepada kebersihan pada diri dengan memberi pahala sunat mandi sebelum jumaat, kebersihan mulut dengan sunat bersiwak dan sebagainya.
  3. Penjagaan sumber alam. Islam menegah manusia daripada merosakkan atau mencemarkan sumber-sumber alam yang terdapat dalam bumi, daratan ataupun dalam laut.
  4. Penjagaan kesihatan manusia. Sekiranya Islam mementingkan penjagaan sumber alam, maka penjagaan sumber manusia adalah terlebih penting. Orang mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah. Islam juga menyeru kepada manusia untuk berubat sekiranya sakit. Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada penjagaan kesihatan kerana mereka adalah pemimpin dan orang dewasa pada masa depan.
  5. Ihsan dengan alam sekitar. Ihsan bererti bersungguh-sungguh dan berlemah lembut. Selayaknya bagi manusia bersifat ihsan dengan kedua-dua makna di atas terhadap manusia sendiri, haiwan, pokok bahkan semua alam baik yang hidup mahupun yang kaku dan kekal seperti tanah,ait dan sebaginya.
  6. Penjagaan alam sekitar daipada kerosakan. Islam meletakkan orang yang melakukan kerosakan di atas muka bumi sebagai perbuatan haram dan mungkar sama ada kerosakan itu kerana sengaja, marah, tanpa sebab dan sebagainya.
  7. Keseimbangan alam sekitar. Perkara yang paling penting dalam penjagaan alam sekitar ialah penjagaan keseimbangannya. Manusia mestilah besikap adil, tidak terlalu melampau dan tidak terlalu bermudah –mudah sehingga dengan dua sikap ini menyaksikan alam sekitar rosak tanpa pembelaan.

PERKARA YANG MERBAHAYA KEPADA ALAM SEKITAR

Allah menciptakan alam sekitar dengan fungsinya yang tertentu untuk kesejahteraan manusia. Sekiranya manusia berjalan tanpa hidayah dan pentunjuk daripada Allah, sudah pasti di sana berlaku kerosakan-kerosakan yang mendatangkan bahaya kepada alam sekitar:

  1. Pencemaran. Apabila manusia tidak beriman dan bertaqwa serta tidak berjalan di jalan yang lurus, maka akan berlaku banyak pencemaran dalam semua perkara. Antaranya:

- Air. Pencemaran bermula dengan pencemaran laut atau sungai. Contoh lain kurangnya oksigen dalam kandungan air, bahan kimia yang berlebihan serta bakteria yang membiak dalamnya.

- Udara. Pencemaran berlaku dengan radio aktif, fog, debu dan sebagainya

  1. Kehabisan sumber asli. Sumber asli akan habis pada amasa akan dating bukan dengan sebab Allah menjadikan ianya hanya sedikit tetapi mausia yang zalim pada dirinya dan tidak bersyukur yang menyebabkan sumber asli habis dan kering seperti menggunakannya bukan pada tempatnya, membazir,cuai sehingga meyebabkan sumber rosak dan sebagainya.
  2. Ketidakseimbangan sistem alam.

PUNCA ROSAKNYA ALAM SEKITAR

  1. Menukar ciptaan Allah. Ataupun dengan ibarat yang lain, menukar fitrah yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia seperti menghalalkan perkara yang haram dan sebaliknya serta membunuh anak lelaki.
  2. Zalim. Sama ada zalim itu kepada diri sendiri atau zalim kepada saudaranya ataupun zalim kepada alam sekitar.
  3. Meninggi diri. Perlakuan bongkak dan takabbur contohnya fir’aun.
  4. Mengikut hawa nafsu. Menjadikan manusia daripada seorang yang matang kepada haiwan yang sentiasa mengikut hawa nafsu, tidak ada baginya akal mahupun hati dan perasaan.
  5. Penyelewengan daripada keseimbangan alam. Perlakuan manusia yang terlalu melampau dan terlalu bermudah-mudah.
  6. Kufur dengan nikmat Allah. Manusia tidak menghayati nikmat yang diberikan, tidak mensyukurinya sepertimana yang sepatutnya.

CARA ISLAM TERKINI DALAM MENJAGA ALAM SEKITAR

  1. Pendidikan yang berterusan dalam setiap peringkat. Cara terbaik ialah dengan pendidikan pada peringkat perkembangan manusia daripada tadika, sekolah sehingga ke peringkat universiti. Adalah menjadi satu kewajipan menanam fikrah pentingnya menjaga dan merawat alam sekitar.
  2. Kesedaran dan pengetahuan kepada orang dewasa. Memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada orang dewasa dan masyarakat secara umum.
  3. Penjagaan sebagai tanggungjawab umum. Menjaga alam sekitar termasuk dalam daerah amar ma’ruf, manakala mencemarkannya termasuk dalam nahi mungkar. Maka setiap muslim bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.
  4. Perlaksanaan denda. Memasukkan ke dalam undang-undang dengan mengenakan denda kepada sesiapa yang tidak mematuhi peraturan menjaga alam sekitar.
  5. Bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab. Bekerjasama dengan badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan yang khusus dalam penjagaan alam sekitar.

Abdul Hadi Awang,

28 Julai 2009, Kaherah.





Baca Lagi...

Terima Kasih Guru

'Selamat Hari Guru' dan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru yang telah mendidik saya terutama ibu saya sendiri merupakan guru pertama saya. Guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebelah rumah saya saja..seterusnya guru-guru di Sekolah Kebangsaan Terap, Kulim (UPSR 1996)..

Seterusnya
Yayasan Khairiah, Kupang, Baling (sebenarnya saya tak belajar kat situ pun..tapi pernah jadi student separuh hari saja kat sana..terus pindah sekolah)..saya pindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling(SMKAB). Kedah. (PMR 1999)..

Dan saya menamatkan zaman sekolah di
Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS), Klang, Selangor (SPM 2001, STAM 2003)

Selamat hari guru saya dedikasikan buat pensyarah-pensyarah
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) walaupun hanya belajar 3 bulan saja.(sempat lagi jadi ketua kuliah usuluddin, Dr Hanafiah yang lantik saya)..dan yang terakhir buat pensyarah-pensyarah Universiti Al Azhar(2004-sekarang)


Juga kepada sesiapa sahaja yang bukan mereka mengajar saya, tapi yang belajar dengan mereka secara langsung ataupun tidak yang tak mampu saya senaraikan di sini..semoga Allah merahmati kalian semua dengan kerja bakti yang telah kalian curahkan..

Saya tujukan lagu 'Terima Kasih Guru' dendangan kumpulan Mirwana kepada semua guru-guru yang telah berjasa kepada murid-murid mereka..(tapi saya tak letak video kat sini atas beberapa masalah teknikal)

Kenapa saya lewat buat ucapan hari guru?

Saya ada alasan kenapa saya lewat mengucapkan ucapan hari guru ini;

1. Saya baru habis exam hari ini, selama ini membaca la kiranya
2. Sempat lagi nak buat ucapan ni kan..sebab KISAS akan sambut hari guru 23 Mei ni.
2. Bagi saya setiap hari adalah hari guru, hari ibu, hari jururawat..cuma ada satu hari saja yang patut disambut iaitu hari pekerja..(kalau setiap hari jadi hari pekerja, cuti la sepanjang tahun..)





Baca Lagi...





Kisas himpun cerdik pandai, pemimpin di kalangan lepasan sekolah agama

KOLEJ Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang dikenali sebagai gedung ilmu yang menghimpunkan cerdik pandai dan bakat kepimpinan di kalangan lepasan sekolah agama.

Antaranya, Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir.

Walaupun namanya sudah tiga kali ditukar sejak penubuhan pada 1955, kecemerlangan Kisas menghasilkan modal insan kelas pertama tetap berkekalan hingga kini dengan berpegang motto Bersama Rangkul Keunggulan.

Pengetuanya, Abdullah Jusoh, berkata budaya Islam dan suasana pembelajaran sempurna menjadi resipi kejayaan sekolah berteras agama itu melahirkan pelajar berilmu, berakhlak, bertakwa serta mampu memberi sumbangan kepada agama, ummah dan negara.

Beliau berkata, berbekalkan pengetahuan, kemampuan dan jati diri unggul yang dipupuk, lepasan sekolah itu mampu bersaing di peringkat global dan menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai bidang serta kerjaya merentasi sempadan negara.

Katanya, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) 'Tiada Muflis 3A' antara faktor yang merangsang pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik khususnya Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Malah, katanya sekolah berkenaan mencapai lonjakan saujana dalam peperiksaan itu tahun lepas dengan catatan gred purata sekolah 1.68, manakala 32 pelajar mendapat 1A semua 11 mata pelajaran serta dua lagi mendapat 121A.

Beliau berkata, sejajar penekanan pembangunan holistik, pembabitan pelajar dalam pelbagai kegiatan kokurikulum turut digalakkan termasuk pertandingan Formula One In School Technology Challenge, Inovasi Sains dan Reka Cipta, debat, pidato, taekwondo, ragbi, tenis dan menembak.

"Sejak penubuhannya hingga kini, Kisas sentiasa menjadi tumpuan pelajar terbaik dari sekolah agama, selain melahirkan tokoh nasional dalam pelbagai bidang dan kerjaya.

"Satu lagi perbezaan Kisas berbanding sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) lain adalah mengadakan peperiksaannya sendiri dikenali Sijil Khas Kolej yang memberi merit khas kepada lepasan Kisas dalam bidang agama atau permohonan biasiswa.

"Kejayaan itu membuktikan sekolah berkenaan tidak menumpukan kepada aspek agama saja malah pembangunan holistik pelajar supaya mereka dapat membina masa depan keluarga dan negara menerusi pelbagai bidang," katanya.

Mengulas status sekolah kluster yang diterima sejak 2007, Abdullah berkata, lima faktor dijadikan keutamaan Kisas bagi mengekalkan kedudukan dalam kelompok sekolah cemerlang berkenaan.

Ia termasuk menghasilkan pelajar berintelektual tinggi, pemantapan sahsiah, membangunkan kemahiran insaniah, ketrampilan dan kecergasan fizikal, pengenalan persekitaran kondusif dan berkualiti menerusi program Pensijilan Persekitaran Berkualiti Sistem 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia serta menjalin hubungan komuniti.

Kejayaan itu mendapat pengiktirafan termasuk Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan (Akademik/Kokurikulum) dan Anugerah Kokurikulum Terbaik SBP 2008 kerana muncul antara sekolah paling cemerlang di kalangan 54 SBP seluruh negara.

Pada awal penubuhannya, sekolah itu dikenali Kolej Islam Malaya (KIM) dan ditempatkan di bangunan bekas istana (Istana Anjung) di Klang yang dihadiahkan Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor ketika itu.

Pada 1966 KIM ditukar nama kepada Kolej Islam Klang (KIK).

Pada 1972, kolej berkenaan diambil sepenuhnya Kementerian Pendidikan dan dinaikkan taraf sebagai SBP dan pada 1989, Sultan Selangor berkenan menukarkan nama KIK kepada Kisas.

Info

Pencapaian terbaik Kisas 2008

Antarabangsa

Johan - Kem Tutti Fratelli International

Medal of Peter O Halloran - Australian Mathematics Competition

Finalis - Mondialogo School Contest

Kebangsaan

Johan Pertandingan Inovasi Sains dan Reka Cipta SBP

Johan Kem Penulis Muda

Johan Pertandingan Folio Pengguna

Johan Debat Bahasa Arab

Sumber: Berita Harian, Rabu 20 Mei 2009.

ulasan: berita yang dimuatkan di sini bukan untuk bermegah-megah tetapi hanya sekadar pembakar semangat dan peringatan kepada saya yang masih lagi jauh untuk sampai ke destinasi..perjalanan kita masih lagi jauh..

syukur atas nikmat yang telah dikurniakan sempat menumpang sementara di bumi waqafan yang banyak mempengaruhi dan memandu diri saya pada hari ini.




Baca Lagi...

Dua jenis ilmu


Dari kiri: Faizul(pak arab), Haikal, Nazrul, Azalee, Hadi, Rahman, Syed Farouk, Hanafi, Hamdan.

Ini sebahagian sahabat-sahabat saya yang masih menuntut di Bumi Anbiyak ini. Gabungan antara 2 ilmu iaitu ilmu agama dan ilmu perubatan. Kata Al Imam As Syafie r.a "Ilmu itu ada dua jenis, ilmu perubatan untuk tubuh badan dan ilmu agama untuk ruh".

Bertepatan dengan apa yang disebut oleh Imam Syafie r.a itu, sememangnya dua ilmu ini amat memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat. Masyarakat tidak akan terlepas daripada dua penyakit ini iaitu sama ada sakit anggota tubuh badan yang memerluan kepada rawatan daripada seorang doktor perubatan ataupun sakit anggota yang bukan tubuh badan zahir terutamanya penyakit hati yang memerlukan kepada rawatan daripada seorang ustaz atau guru yang berpendidikan agama yang tulen.

Justeru, saya mengharapkan adanya gabungan dua golongan ini, ataupun mungkin di sana telah ada gabungan ini dengan golongan-golongan yang lain kerana kepentingannya dalam membentuk kelompok masyarakat yang seimbang dari segi kesihatan jasmani dan rohani.

Mungkin 'ia' bermula di sini..


Dari kiri: Haikal, Nazrul, Syed Farouk, Hamdan, Hanafi, Hadi.

Gambar di atas; haikal, syed farouk dan hamdan adalah pelajar perubatan..yang lain aliran agama.




Yang ni "5 sekawan" seperti yang disebut oleh rahman dalam blognya. Syauqi tiada dalam gambar.



Baca Lagi...

Ashabul Kahfi versi Malaysia

Dari kiri Mohsein, Suzaime, saya, Nazrul, Zukhairi, Syauqi dan Safwan.

Seperti tajuk entry ni, lebih kurang macam tu la gelaran kami daripada kalangan junior dan senior serta tenaga pendidik KISAS. 7 orang yang menyambung pelajaran di sekolah untuk masuk Tingkatan 6. Walaupun masing-masing dapat tawaran untuk masuk ke IPTA. Tapi tidak la masuk gua macam Ashabul Kahfi, cuma tabarruk dengan angka 7 tu saja.

Sebenarnya tiba-tiba saya teringatkan kawan-kawan musim peperiksaan ni yang sama-sama belajar dahulu, menghabiskan waktu bersama-sama semasa di pusat pengajian. sekurang-kurangnya dapat menghilangkan penat menghafal Al Quran..

Munasabah dengan cerita ini ialah satu hadis Nabi sallahu'alai wasallam riwayat Abu Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud
"Seseorang itu mengikut temannya, maka kamu lihatlah dengan siapa seseorang itu berteman". Hadis hasan. Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi, walaupun Ibnu Jauzi mendhaifkan hadis ini.

Kata penyair arab;

Janganlah kamu bertanya tentang seseorang (kepada tuan empunyanya), tetapi tanyalah temannya#
Setiap yang berteman pasti akan mengikut temannya,
Sekiranya (teman tersebut) ahli keburukan maka hindarilah dengan segera#
Tetapi sekiranya (teman tersebut) ahli kebaikan maka bertemanlah dengannya supaya kamu mendapat petunjuk.

Dalam berteman, tentunya kita mengharapkan kebaikan daripada teman tersebut. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang yang berteman dengan orang yang baik..



Kat tengah-tengah tu Us Nawi, tenaga pendidik kami..


Cuma pengenalan ringkas tentang teman-teman saya dalam gambar di atas:

1. Mohsein..
Graduan Kuliyyah Undang-Undang IIUM..asal Penang..bekas exco SRC IIUM dan sekarang berkerja di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia..sebenarnya Mohsein ni bekas Ketua Umum KISAS..

2. Suzaime..
Lepasan Fakulti Undang-Undang UKM..bekas Presiden Ikatan Studi Islam UKM dan Setiausaha Gamis..sekarang ni masih belum berkerja lagi. Mungkin dia kerja secara tak rasmi kat kedai ayah dia kot..jadi cashier mungkin..ni la satu-satunya kawan yang saya tak pernah ke rumahnya kat Setiu, Terengganu.

3. Nazrul..
Masih belajar di Universiti Al Azhar, Mesir. Kuliyah Usuluddin Jabatan Tafsir..(bila kita nak balik ni, kata nak jalan2 ke Belanda..bila boleh p ni..). Orang Kuala Nerang, Kedah..orang kata blog dia dah macam goreng pisang..(agak2 kalau ada orang jual goreng kat dataran ni, mesti tak laku sbb blog nta..hehe). Ni la bekas Presiden Badar KISAS..dan bekas Badan Pengurus PMRAM..

4. Zukhairi..
Graduan Kuliyyah Undang-Undang IIUM..bekas Presiden SRC IIUM..asal Taboh Naning, Melaka..sekarang ni sibuk
chambering untuk jadi lawyer. Saya banyak juga terhutang budi dengan keluarganya..pernah Raya Haji di Melaka..masa saya kemalangan pun, mak dia yang jaga saya..bawak saya ke hospital setiap hari..ayah dia adalah Munsyi ke-4 Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Syauqi..
Yang ni orang Bentong, Pahang. Masih di Mesir..satu kuliyah dengan saya..(kita kena balik jugak tahun ni Syauqi..). Bekas YDP BKMIP(Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang) di Mesir..Hari pertama sampai kat rumah dia, mak dia masak masakan
famous di Pahang,masakan ikan patin..tapi saya lupa ikan patin tu masak apa..nanti ana tanya balik..

6. Safwan..
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang USIM..orang Kuala Terengganu..ni la satu-satunya wakil kami yang telah kahwin(yang lain bila lagi??)..bekas Tim Presiden MPP USIM..sekarang ni sedang menyambung MA di UKM dan sebagai tutor di USIM..peminat tegar Manchester United..hampir-hampir masuk Al Arqam sebab minat kat serban depa..(nasib baik..hehe)

7. Saya sendiri..tak dak apa nak dibicarakan..Masih menuntut..doakan saya semoga dipermudahkan segala urusan..amin..

Semoga ikatan yang terbina akan kekal sampai bila-bila..amin Ya Rabb..




Baca Lagi...

Ahlu Sunnah Wal Jamaah



Suatu hari Imam Abu Hassan Al Asy'ari bertanya kepada gurunya Al Jabaie seorang ulama' mu'tazilah dalam pengajiannya; "Apa pendapat kamu kepada tiga orang saudara iaitu seorang mati ketika tua dan taat kepada Allah, seorang lagi juga tua tetapi banyak melakukan maksiat kepada Allah dan yang ketiga masih kanak-kanak?" Berkata Al Jabaie; "Yang pertama akan diberikan pahala dengan ganjaran syurga, sementara yang kedua akan diazab dengan api neraka manakala yang ketiga tidak akan diberikan pahala ataupun disiksa".

Maka berkata Abu Hasan Al Asy'ari kepada gurunya; "Sekiranya si mati yang ketiga bertanya: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan kenapa tidak biarkan aku hidup nescaya aku akan mentaatiMu dan sudah pasti Engkau akan masukkan aku ke dalam syurga?" Apa Tuhan akan jawab?" Berkata Al Jabaie; "Tuhan akan jawab: "Sesungguhnya Aku mengetahui sekiranya kamu dibiarkan hidup sehingga tua, kamu akan melakukan maksiat kepadaKu dan sudah pasti Aku akan masukkan kamu ke dalam neraka. Maka perkara yang lebih baik bagi kamu ialah mati ketika masih kanak-kanak".

Berkata Imam Al Asy'ari lagi; "Sekiranya si mati kedua bertanya kepada Tuhan: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau tidak matikan aku ketika aku masih kanak-kanak dan sudah pasti Engkau tidak akan masukkan aku ke dalam neraka?" Apa Tuhan akan jawab?" Terus tercengang Al Jabaie dengan persoalan tersebut.

Imam Abu Hasan Al Asy'ari terus meninggalkan mazhab mu'tazilah tersebut dan beliau serta pengikutnya banyak menghabiskan waktu untuk berhujah dengan pendapat mu'tazilah dalam membenarkan apa yang terdapat dalam As Sunnah dan dikekal dan disempurnakan usaha tersebut oleh Al Jamaah(sekumpulan manusia). Oleh sebab itu golongan ini dinamakan sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah.


Baca Lagi...

Maahad Az Zein, Bogor








Gambar-gambar yang sempat dirakam ketika ziarah saya, Ustaz Aidil dan Haji Kamal ke Maahad Az Zein, Bogor , pondok milik Syeikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makky pada bulan Februari yang lepas..

Gambar pada waktu malam yang bawah sekali adalah rumah Syeikh Nuruddin dari sisi bawah bukit..

Lagi dua gambar sebelumnya ialah rumah tetamu, tempat kami menumpang bermalam..cantik tempatnya..design seperti chalet tepi pantai..depan tu kolam ikan..tapi saya tak pasti ikan apa dalam tu..tak sempat nak menimba..setiap hari memang keluar jalan je..


Baca Lagi...

ETIKA DAN AKHLAK PENGGUNA



Sebahagian besar pakar-pakar ekonomi begitu mengambil berat mengenai pengeluaran sesuatu barang. Oleh sebab itu, mereka menghabiskan segala tenaga dan fikiran mereka untuk menambah pengeluaran dan memperelokkannya sama ada dari segi bilangan mahupun jenisnya.
Islam telah meletakkan satu garis panduan kepada para pelabur dengan satu manhaj yang sederhana. Mengikut Islam, pelaburan yang terbaik ialah dengan menambahkan pengeluaran sesuatu barang serta membimbing para pengguna dengan mengeluarkan barang-barang yang dihalalkan oleh Islam.

BERBELANJA KE ARAH KEBAIKAN DAN MEMERANGI SIFAT KEDEKUT

Bersederhana Dalam Berbelanja

Mengeluarkan barang-barang yang baik adalah dituntut, memiliki harta adalah disyariatkan dalam Islam, tetapi memiliki harta semata-mata bukan matlamat sebenar, bahkan ianya hanyalah jalan untuk menikmati rezeki yang Allah telah kurniakan kepada hambaNya dan jalan untuk berbakti demi kemaslahatan masyarakat.
Manakala orang kaya yang memiliki harta yang banyak hanya bertujuan mengumpulkannya semata-mata tanpa menikmatinya bersama ahli keluarganya dan tidak membantu masyarakat merupakan orang yang telah menyeleweng daripada hidayah Allah dan sunnah orang beriman.

Wajib Berbelanja

Arahan supaya berbelanja datang selepas arahan beriman kepada Allah dan RasulNya. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa arahan ini adalah suatu kewajipan , bukan semata-mata perkara sunat ataupun petunjuk daripada Allah. Banyak di dalam Al Quran disertakan perkataan iman dengan perkataan berbelanja. Diantaranya firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 3.

3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.

Firman Allah lagi dalam surah Al Anfal ayat 2-4

2. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
3. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan Yang mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka.
4. Merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka akan mendapat pangkat-pangkat Yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia Yang mulia (di Syurga).

Ahli tafsir telah berbeza pendapat dalam menentukan maksud infaq. Adakah ianya zakat wajib? Sedekah sunat? Ataupun nafkah kepada ahli keluarga?

Mengikut pendapat yang paling tepat ialah lafaz infaq adalah lafaz umum termasuk di dalamnya wajib, sunat, kepada diri sendiri, keluarga ataupun masyarakat. Infaq bermaksud berbelanja.

Berbelanja Yang Dituntut

Terdapat dua keadaan berbelanja yang dituntut oleh syara’

1. Berbelanja di Jalan Allah

Gesaan berbelanja di jalan Allah banyak disebut di dalam Al Quran di antaranya ayat 261 Surah Al Baqarah.

261. Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

Gesaan berbelanja dalan hadis sepertimana hadis yang diceritakan oleh Saidina Umar r.a berkata: Rasulullah telah menyuruh kami supaya bersedekah. Maka akupun membawa harta aku untuk bersedekah. Maka aku berkata: Hari ini aku telah mendahului Saidina Abu bakar r.a dengan membawa separuh daripada hartaku. Maka berkata Rasulullah: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?”. Aku menjawab: Sebanyak harta ini. Kemudian datang Saidina Abu Bakar dengan membawa semua hartanya. Berkata Rasulullah kepadanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?”. Jawab Abu Bakar: Aku hanya tinggalkan kepada mereka Allah dan RasulNya! Aku berkata: Aku tidak akan mampu mendahului kamu selama-lamanya. Hadis sahih mengikut syarat Imam Muslim riwayat Al Hakim.

2. Berbelanja untuk diri sendiri dan ahli keluarga.

Allah berfrman dalam Surah Al A’raf ayat 31 dan 32.

31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.
32. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.

Ayat di atas secara jelas menunjukkan perintah yang membawa kepada wajib menikmati perkara-perkara kebaikan sama ada dari segi makanan, minuman ataupun perhiasan menurut pendapat sebahagian ulama’.

Imam Al Syatibi ada menyebut satu kaedah berkenaan ayat perintah seperti di atas dalam kitab Al Muwafaqat “ Sesungguhnya ia membawa maksud harus pada satu juzuk (harus makan pada pada bila-bila masa tanpa ditentukan masanya) tetapi dituntut pada alkulli ( wajib makan secara umum untuk mengelakkan mudarat akibat tidak makan) sama ada menjadi sunat atau wajib”.

Tidak mengapa bagi seseorang muslim berpakaian kemas dan rapi bahkan sukakan kepada kecantikan dalam semua keadaan.

Satu hadis Nabi riwayat Imam Muslim daripada Ibnu Mas’ud daripada Rasulullah berkata: “ Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada pada hatinya sebesar zarah daripada sifat takabur ”. Maka berkata seorang lelaki: Bagaimana jika seorang lelaki suka berpakaian cantik dan elok? Jawab Rasulullah: “ Sesungguhnya Allah itu cantik dan elok serta sukakan kepada kecantikan. Takabur itu ialah mengingkari kebenaran dan menghina manusia lain”.

Tidak dinafikan sifat kedekut kepada diri sendiri dan keluarga termasuk dalam perbuatan yang dicela. Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, hendaklah dia menggunakan nikmat tersebut sebaiknya dan menzahirkan nikmat tersebut. Inilah perbuatan yang disukai oleh Allah dan bukan sebaliknya.

Islam menjadikan perbelanjaan kepada ahli keluarga sebagai permulaan kepada pemberian berbelanja kepada kepada fakir miskin dan berbelanja di jalan Allah. Antara perbelanjaan yang disyariatkan kepada keluarga ialah membina rumah atau tempat tinggal yang selesa dan luas kerana beberapa faktor. Di antaranya ialah:
1. Untuk membezakan bilik bagi anak lelaki dan anak perempuan apabila mereka telah baligh.
2. Untuk para tetamu yang hadir ke rumah untuk bermalam.


MEMERANGI PEMBAZIRAN DAN SIKAP BERMEWAH-MEWAH

Sebagaimana seorang muslim tidak boleh untuk mendapatkan harta daripada sumber yang haram, mereka juga tidak boleh membelanjakannya kepada perkara-perkara haram, bahkan mereka juga tidak boleh untuk membazir walaupun pada perkara-perkara halal dengan menghabiskan harta ke sana ke mari tanpa had dan tujuan.
Islam mengharuskan kepada umatnya untuk menikmati perkara-perkara yang baik dalam kehidupan dunia, bertentangan dengan rahib-rahib Kristian, golongan sufi Hindu dan seumpamanya yang jumud dalam kehidupan. Akan tetapi, keharusan ini tidak boleh melampaui batas yang membawa kepada pembaziran dan sikap bermewah-mewah.

Pedoman Yang Menarik

Pengajaran daripada hadis riwayat Imam Muslim berkenaan arahan Nabi supaya menghabiskan makanan yang dimakan dengan sabda Nabi “ Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada makanan mana yang ada barakah” ialah supaya tidak berbaki sedikitpun makanan dalam bekas kerana pada masa yang sama berapa ramai manusia yang kelaparan dan kebuluran di luar sana walaupun lebih sedikit daripada makanan yang ditinggalkan.

Menjauhkan Diri Daripada Berhutang

Seorang muslim mestilah mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan supaya tidak tercebak dalam hutang.
“ Diampunkan kepada syahid semua dosanya melainkan hutangnya”. Hadis sahih riwayat Imam Muslim.
Hadis di atas menunjukkan bahaya hutang kepada manusia walaupun setelah mati syahidpun tidak mampu menghapuskan beban hutang sedangkan mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat islam.

Menjaga Aset Kekal

Aset kekal merupakan harta yang cukup bernilai bagi seseorang muslim. Islam menggesa supaya aset seperti rumah, bangunan, ladang tanaman ataupun ternakan tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan Islam menggalakkan kepada seseorang muslim mengusahakannya sebagai salah satu sumber rezeki yang baik dan halal. Aset seperti ini tidak harus dijual hanya semata-mata untuk mendapatkan wang.

Merosak dan Menghilangkan Harta Serta Cuai Adalah Pembaziran

Di antara pembaziran yang dilarang oleh Islam ialah sengaja merosakkan harta benda dan menghilangkannya serta cuai menjaga harta tersebut sehingga menyebabkan harta tersebut rosak dan musnah.

Matlamat Islam Memberikan Garis Panduan

1. Pendidikan Akhlak
Bukan akhlak seorang mukmin bermewah-mewah dalam kehidupan seperti golongan kafir yang memakan apa sahaja seperti binatang. Mukmin yang sejati ialah mereka yang menikmati kelazatan hidup di dunia tetapi dengan mendirikan tembok pemisah di antaranya dengan perkara-perkara haram.

2. Pendidikan Kemasyarakatan
Sekiranya terdapat golongan yang bermewah-mewah dan membazir di merata-rata tempat, maka akan timbul perasaan dengki dan hasad daripada golongan miskin yang akhirnya akan membawa kepada berlakunya kes-kes kecurian dan rompakan.

3. Pendidikan Kesihatan dan Jasmani
Pembaziran dalam makanan akan membawa kepada penyakit tidak dapat mencernakan makanan, gemuk dan penyakit-penyakit perut dan sistem penghadaman sedangkan Islam suka kepada mukmin yang kuat yang Allah lebih sukai daripada mukmin yang lemah. Kekuatan yang dimaksudkan termasuk kekuatan jasmani dan sihat daripada sebarang penyakit.

Pengguna yang terbaik sentiasa menilai sesuatu tindakan dengan neraca iman dan taqwa kerana apa sahaja yang dilakukannya semuanya akan kembali kepada matlamat yang satu iaitu untuk mendapatkan redha Allah S.W.T.



Kertas kerja ini adalah ringkasan daripada buku “ Peranan Etika dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam” karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi dan dibentangkan dalam Madrasah Wasatiyyah pada 14 Rabi’ul Akhir 1430H/ 10 April 2009M.

Abdul Hadi bin Awang,
10.31 pagi,
Jumaat, 14 Rabi’ul Akhir 1430H
Hayyu ‘Asyir, Kaherah.


Baca Lagi...

Bermula Alkisah..


" nta nanti kalau dah sampai sana, buatla catatan peribadi. buat memoir sepanjang pengembaraan di tempat orang. jadi macam Dr H.M Tuah sampai boleh buka syarikat dengan jualan buku memoirnya saja".kata seorang sahabat saya sebelum saya bertolak untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir hujung tahun 2004. Saya hanya mampu tersenyum dengan cadangan tersebut.

Ya la, mana boleh nak samakan saya dengan Dr H.M Tuah yang memang terkenal dengan siri-siri ceramah motivasinya di sana sini. Pandai pulak menulis. Saya ni nak menulis diari pun tak sanggup, apatah lagi nak menulis memoir untuk tatapan orang ramai..tapi rupa-rupanya cadangan 5 tahun lepas menjadi satu kenyataan pada hari ini. Dengan adanya perantaraan blog ini, mungkin juga antara penyebab saya tiba-tiba berminat untuk menulis.

Tapi tujuan saya menulis di sini bukanlah untuk membongkar kisah-kisah peribadi saya untuk bacaan umum, bukan juga untuk memberikan fatwa-fatwa terhadap permasalahan umat, saya bukan orang yang selayaknya buat macam tu, tapi tidak lebih hanya sebagai pendorong kepada saya belajar menulis sedikit demi sedikit. Sepertimana ungkapan Saifulislam.com "
Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU". Mungkin suatu hari nanti saya mampu menjadikan medium penulisan ini sebagai salah satu medan dakwah yang berkesan. Sapa tahu...


Baca Lagi...

Majlis Bersama Dr Yusuf Al Qaradhawi

Alhamdulillah..kerana telah diberi kesempatan oleh Allah untuk saya dan sahabat-sahabat hadir bersama dalam satu majlis bersama Fadhilatul Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi anjuran Ettihad Ulama'. Majlis yang bermula pada pukul 5 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam cukup banyak memberi input yang amat berharga kepada penuntut-penuntut ilmu baik bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam ilmu mahupun bagi mereka yang telah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang ini..

Hadirin yang hadir daripada kalangan doktor-doktor Al Azhar dan pelajar-pelajarnya cukup untuk menggambarkan kehebatan majlis-majlis sebegini.

Tajuk yang disampaikan ialah tentang "Ciri-ciri Fatwa Yang Pelik".(fatwa yang tersasar daripada fatwa yang sebenar) Antara ciri-ciri tersebut ialah:

1. Fatwa yang dikeluarkan oleh orang yang bukan ahlinya.
2. Fatwa yang dikeluarkan bukan pada tempatnya.

3. Fatwa yang bertentangan dengan nas Al Quran.

4. Fatwa yang bertentangan dengan Hadis.

5. Fatwa yang bertentangan dengan Ijma' yang diyakini.

6. Fatwa yang bertenta
ngan dengan Qias yang sahih.
7. Menggambarkan suasana dan keadaan yang tidak tepat dengan hakikat sebenar sesuatu keadaan.
8. Beristidlal tanpa dalil.
9. Tidak meraikan suasana tempat, zaman dan 'uruf.


Fadhilatul Syeikh juga berpesan supaya banyak membaca, mengulangkaji, mengkaji dan berbincang sesuatu masalah supaya lahir nanti seorang ulama' yang benar-benar diyakini keilmuannya dalam mengeluarkan fatwa.

Majlis-majlis sebegini wajar dan sepatutnya kita ikuti sementara masih muda dan berada di bumi Mesir yang penuh dengan para ulama' dan auliya'.


Baca Lagi...

Majlis Bersama Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh

Alhamdulillah akhirnya pengajian hadis menggunakan kitab Riadussolihin dan feqah mazhab Imam Syafie berpandukan kitab Fathul Qarib syarah kepada Matan Abi Shuja' bersama Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh, murid kanan Syeikh Yasin Al Fadani, Musnid Dunia di Mekah dapat berlangsung dengan baik. Walaupun pada sebelumnya terdapat beberapa masalah yang akhirnya dapat diselesaikan dengan baik. Melihatkan kebanjiran penuntut-penuntut ilmu yang dahagakan ilmu pada pengajian semalam, menunjukkan betapa jika sesuatu perkara kebaikan dianjurkan, pasti akan dinilai dengan kebaikan oleh mereka yang hendakkan kebaikan.

Antara pesanan Syeikh ialah apabila tamat pengajian kitab ini penuntut-penuntut ilmu yang pulang ke Malaysia diharap supaya dapat mendirikan Majlis Riadussolihin dengan mengajarkan dua kitab yang besar faedahnya ini kepada masyarakat.

Sama-sama kita berdoa supaya majlis ini dapat berjalan dengan lancar dan mampu memberi faedah yang banyak kepada penuntut-penuntut ilmu di sini..


Baca Lagi...

muqaddimah

muqaddimah sebagai blogger..


Baca Lagi...